19 Maret 2015
RBAF Pilatus PC-7 Mk II (photo : H. Afiq)
BANDAR SERI BEGAWAN - Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata, anggaran perbelanjaan Kementerian Pertahanan dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 2015 / 2016 adalah sebanyak BND537,490,460.
Jumlah itu merupakan penurunan sebanyak 25.26 peratus daripada anggaran yang diluluskan pada Tahun Kewangan yang lalu.
Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut semasa membacakan mukadimah mengenai peruntukan Kementerian Pertahanan bagi Tahun Kewangan 2015/2016 yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan pada hari keempat berlangsung Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, MMN, di sini.
Itu jelas Yang Berhormat, sebagai langkah untuk memandu jawatankuasa ini untuk menimbangkan permohonan peruntukan Kementerian Pertahanan ini secara fokus.
Di samping itu, Yang Berhormat juga menjelaskan mengenai pembahagian peruntukan yang diluluskan itu adalah bagi Pembayaran Gaji iaitu sebanyak BND336,146,330, diikuti dengan Perbelanjaan Tahunan Berulang-ulang sebanyak BND169,344,130, dan kemudian lain-lain pembayaran Perbelanjaan Khas sebanyak BND32 juta.
Tambahnya, bagi Kategori Perbelanjaan Pembayaran Gaji terdapat penambahan sebanyak BND15,276,960 berbanding tahun lepas.
Yang Berhormat menerangkan, penambahan ini berpunca daripada kenaikan Gaji Tahunan (Annual Increment) dan pengisian jawatan-jawatan kosong yang ada pada masa ini.
Kenaikan yang ketara ini terangnya, berpunca daripada penambahan jawatan baharu khusus bagi kakitangan pemeliharaan kelengkapan teknikal yang mengambil kira penambahan peralatan kelengkapan khususnya keupayaan Tentera Laut Diraja Brunei dan Tentera Udara Diraja Brunei.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bagi kategori lain, bagi Perbelanjaan Tahunan Yang Berulang, ia menurun sebanyak 0.2 peratus disebabkan oleh pengurangan pengambilan kakitangan 'open vote' dan bergaji hari.
Manakala bagi kategori bayaran Perbelanjaan Khas jelasnya, menurun sebanyak 86 peratus, sejumlah besar penurunan ini disebabkan oleh peruntukan bagi Projek Peningkatan Keupayaan Pertahanan yang sebelum ini di bawah kawalan Kementerian Pertahanan telah dipindahkan ke akaun baharu di bawah Peruntukan Perbelanjaan Khas Kementerian Kewangan.
Tambahnya, sebahagian lagi Peruntukan Perbelanjaan Khas berpunca daripada penelitian semula keutamaan di atas projek-projek keupayaan tentera dan kerja-kerja bangunan bagi menyelaraskan keadaan ekonomi semasa.
Selain itu, Menteri Kewangan II (Kedua) di JPM juga menjelaskan, memandangkan usia Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang melebihi separuh abad, Kementerian Pertahanan sentiasa memastikan keupayaan tentera ABDB sentiasa di tahap yang tinggi.
Usaha ke arah peningkatan keupayaan tentera katanya, telah berjalan dengan baik sejak enam tahun kebelakangan ini yang meliputi alat kelengkapan tentera, mobiliti dan pengangkutan institusi-institusi latihan dan sebagainya.
Namun usaha ini jelasnya, masih perlu diteruskan memandangkan kepada perkembangan dan peranan serta tanggungjawab ABDB yang semakin mencabar baik di peringkat negara, ataupun antarabangsa.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, dalam waktu yang sama, Kementerian Pertahanan juga akan mengambil peranan penting ke arah usaha mencapai Wawasan Negara 2035, iaitu membentuk satu strategi keselamatan yang 'robust' dan berkesan untuk memelihara kestabilan dan kedaulatan negara, menjamin hubungan diplomatik pertahanan dan siap siaga dalam menangani sebarang ancaman termasuk bantuan kemanusiaan dan bencana alam.
"Kementerian Pertahanan sedang membuat kajian pertahanan secara terperinci bagi memastikan keberkesanan pengurusan pertahanan yang 'cost effective' dan perancangan jangka masa panjang yang melahirkan kesan yang positif terhadap kekuatan tentera dan pertahanan negara," jelas Yang Berhormat Menteri Kewangan II (Kedua) di JPM.
"Kementerian Pertahanan akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam berbelanja dan memastikan 'corporate governance' seperti menginstitusikan kaedah 'programme and performance budgeting' dalam pengurusan."
(Pelita Brunei)
Kamis, 19 Maret 2015
Peruntukan BND537,490,460 Kementerian Pertahanan Telah Diluluskan
Posted By: Admin - 08.52About Admin
Techism is an online Publication that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around in the world which you may find hard to believe and understand. The Main Purpose of this site is to bring reality with a taste of entertainment
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar